(TK) Kita Hanya Sehelai Daun Gugur
Ilham tentang buku ini tercetus ketika saya sedang duduk termenung sendirian di dalam kereta,
melihat daun-daun yang gugur di cermin hadapan.
Saya perhatikan daun-daun yang gugur itu ada pelbagai jenis, saiz, bentuk dan warna.
Dari situ, saya rasa setiap daun itu mempunyai ceritanya yang tersendiri. Sama ada kita peduli
atau tidak, daun yang gugur itu pernah tumbuh, bertahan dan memberi makna. Sebelum
akhirnya, tiba masa untuk gugur.
Dalam karya sederhana ini, adanya tulisan-tulisan refleksi kehidupan yang ilhamnya datang
daripada pengamatan terhadap hal-hal kecil dalam hidup, yang berlaku secara rawak dan tidak
tentu, yang selama ini mungkin kita tidak hiraukan namun bagi saya setiap daripadanya
mempunyai makna.
Mudahnya, karya ini adalah tentang the art of noticing (seni mengamati hal-hal kecil yang
berlaku secara rawak dalam hidup).
Juga saya masukkan di dalamnya catatan peribadi dan puisi yang ditulis sepanjang perjalanan
hidup saya yang tidak seberapa ini. Saya kutip dari kotak ingatan agar menjadi bukti, bahawa
saya pernah menjadi manusia.
Jujurnya, saya tidak memaksa anda untuk memahami apa yang ditulis. Saya cuma mahu anda
hayati dan rasai sahaja apa yang ada dalam buku ini—Kita Hanya Sehelai Daun Gugur.