[TK] SOLAT - SEBUAH REFLEKSI oleh HAFIZUL FAIZ [RAK 31]
Buku ini datang dengan fokusnya tersendiri, iaitu refleksi. Semua rukun qauli dan fe'li, yakni perkataan dan perbuatan, telah saya kupas dengan dua lensa: satunya, lensa linguistik. Saya hurai serba sedikit maknanya dari sudut bahasa dan istilah. Duanya, lensa reflektif. Saya huraikan juga bagaimana refleksi setiap rukun dan bacaan terhadap diri kita sebagai hamba.
Untuk melengkapkan lagi buku ini, saya kepilkan tatacara (kaifiyat) setiap rukun secara ringkas dan bacaannya yang sahih dari hadis menurut Mazhab Syafi'e. Saya juga ada bandingkan dengan mazhab lain sebagai tujuan belajar dan menambah sudut pandang, bukan mengelirukan.
Tidak cukup dengan itu, saya kepilkan juga beberapa bacaan sunnah dalam setiap rukun yang pelbagai menurut Mazhab Syafie.
Tujuannya agar kita boleh mempelbagaikan bacaan supaya solat kita menjadi lebih kaya dengan bacaan dan doa. Selain rukun, saya juga menambah sedikit huraian mendalam dari lensa linguistik kata yang sangat terkenal, iaitu Subhanallah dan Rabb, yang kita baca dalam rukuk dan sujud.
Seboleh yang mungkin saya berusaha melambakkan apa sahaja ilmu yang menurut saya penting untuk diulang kaji. Jika masih ada yang kurang, saya mohon maaf. Kerana pada akhirnya buku ini cuma berteduh di bawah satu hasrat: moga-moga sesiapa membacanya, solatnya itu lebih bermakna.