
(KOPI PRESS) Lelaki Jururawat [RAK 809]
Buku ini ditulis untuk membesarkan jiwa-jiwa jururawat yang 'mengecut' disebabkan fenomena rasa rendah diri yang melampau, sehingga hanya mampu menjadi mak atau pak turut dalam pengurusan pesakit.
Tajuk buku: "Lelaki Jururawat" dipilih untuk mengetengahkan watak seorang jururawat yang berani bersuara dan menginginkan perubahan ke arah suasana dan motivasi kerja yang lebih Islami. Hikayat yang jarang didendang merupakan idea dan gagasan pemikiran seorang jururawat iaitu sebagai seorang penyeru kepada Tuhannya, baik dalam situasi pesakit atau rakan sekerjanya sendiri.
Mudah-mudahan buku ini mampu meniupkan semangat dalam jasad robotik yang bekerja di hospital-hospital atau di pusat kesihatan.
Kepada jururawat,
Perkara pertama sekali yang harus anda letakkan dalam fikiran anda bila anda sedang berkhidmat melayani pesakit adalah, anda sedang melakukan tugas yang sangat mulia.Tugas yang memerlukan perhatian dan mendalami perasaan lalu menterjemahkannya dalam kemuliaan perlakuan.
Tugas anda sebagai seorang jururawat adalah amanah yang diberikan oleh Allah SWT dalam misi untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan seorang pesakit. Jika anda tidak mendapati paradigma ini wujud dalam jiwa anda, maka anda belum mendalami kerjaya sebenar seorang jururawat dan dengan amat mudah persepsi yang saya sebutkan tadi meroboh keyakinan anda untuk lebih berautonomi dan berkeyakinan.