
(DBP) TERENGGANU DARUL IMAN : TRADISI PENSEJARAHAN MALAYSIA [RAK 02]
Terengganu Darul Iman: Tradisi Pensejarahan Malaysia memperkatakan tentang sejarah dan pensejarahan Terengganu antara tahun 1880-an hingga tahun 1930-an. Buku ini dihasilkan secara analitis dan kritis berdasarkan sebuah teks Melayu tradisional bercorak sejarah yang ditulis oleh Tengku Dalam Kalthum. Buku ini mengemukakan perbezaan antara pandangan sejarah dengan keperibadian dan etos kemelayuan dari kalangan istana dengan etos dan pensejarahan yang ditulis oleh orang Inggeris dan peribumi yang bukan dari kalangan istana. Buku ini juga membincangkan kaedah pensejarahan dan konsepsi sejarah pada pandangan penulis Melayu elit dan kesinambungan elitis para pujangga Melayu pada zaman sebelumnya di Terengganu dan di alam Melayu. Buku ini dapat menghubungkan idea tentang sejarah dengan masalah penghasilan dan etos kesusasteraan Melayu klasik.
Buku ini turut membincangkan sejarah dan maklumat pensejarahan Terengganu yang belum lagi diketahui umum. Semua maklumat ini diperoleh daripada ahli sejarah tempatan dan mengikut pandangan serta pengamatan orang Melayu tempatan. Buku yang memperlihatkan tradisi pensejarahan Melayu di peringkat negeri ini akan dapat dijadikan landasan untuk membina suatu tradisi pensejarahan peribumi negara ini, bukan hanya dengan gagasan impian sahaja malah melalui penerbitan yang komprehensif. Buku ini akan dapat memenuhi kekosongan dalam ruang untuk tahap-tahap tertentu dalam sejarah Malaysia yang masih belum dikaji dan diketahui ramai.