KAMI TERIMA PEMBELIAN DARI INSTITUSI DAN PEMBELIAN MENGGUNAKAN L.O. HUBUNGI KAMI TERUS!
Cart 0
images

(DBP) SIRI WARISAN SASTERA KLASIK : HIKAYAT AYUB DAN SYAIR NABI AYUB ALAIHISSALAM [RAK 02]

RM 20.00

Hikayat Ayub dan Syair Nabi Ayub Alaihissalam merupakan sebuah teks kajian bandingan antara dua buah manuskrip karya kesusasteraan tradisional yang dapat dikelompokkan dalam genre hikayat berunsur Islam, dengan al-Quran. Tujuannya bagi membolehkan pembaca menilai bahan bacaan supaya tidak bercanggah dengan nilai keislaman. Kisah dan teladan yang terkandung dalam hikayat ini boleh dijadikan pengajaran agar manusia terus bersyukur kepada Allah

Naskhah “Hikayat Ayub” bernombor MS 29 merupakan koleksi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Naskhah ini berukuran 25 X 17.5 sentimeter, ditulis dalam sebuah buku kecil dan mengandungi 20 helai halaman bercetak. Jumlah baris pada setiap halaman adalah sekata, iaitu purata antara 16 baris pada setiap halaman dengan 12 perkataan pada setiap baris. Dari segi penggunaan kertas, naskhah ini ditulis pada kertas yang agak tebal dan berwarna kekuningan serta mempunyai tera air dengan tulisan “INGRES FABRIANO”.

Menerusi “Hikayat Ayub”, Nabi Ayub. digambarkan sebagai seorang yang baik budi dan mempunyai harta yang sangat banyak. Kemudian, beliau diuji dengan ujian yang amat dahsyat, iaitu kehilangan harta benda seperti binatang ternakan, ladang, anak dan isteri. Tidak cukup dengan itu, beliau ditimpa musibah yang amat berat, iaitu dihinggapi penyakit kulit yang menjijikkan. Pengarang juga cuba menggambarkan cara sahabat-sahabat Nabi Ayub, dan bagaimana Nabi Ayub sendiri berusaha mentafsirkan kecelakaan dan nasib malang yang berlaku dalam hidupnya. Para sahabat Nabi Ayub menyatakan bahawa penderitaan yang dialaminya merupakan balasan atau hukuman atas dosa yang telah dilakukan oleh Nabi Ayub. Nabi Ayub menyanggah pendapat para sahabatnya. Nabi Ayub bermonolog dan bertegas dengan pendiriannya bahawa hidupnya tidak pernah berdosa kepada Allah SWT.