
(DBP) CAMAR DI CANGKIR BUMI [RAK 119]
Siti Zaleha M. Hashim lahir di Taiping, Perak pada 6 November 1953. Kegiatannya di sekolah banyak membentuk peribadinya serta mengasah minatnya dalam dunia sastera yang sudah ketara sejak di sekolah rendah. Siti pernah menjadi johan syarahan peringkat sekolah rendah seluruh negeri Melaka selama beberapa tahun sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Kumpulannya sering menjadi johan perbahasan, berbalas pantun dan kuiz ketika di Sekolah Menengah Perempuan Methodist Treacher (TMGS) dan King Edward VII, Taiping Perak. Siti lulusan Sebaran Am dari Institut Teknologi MARA (1976) dan memperoleh ijazah Sarjana (Komunikasi) dari University of Leeds, United Kingdom (1996).
Beliau pernah berkhidmat di RTM dan kini bertugas di Jabatan Pengembangan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antologi Camar di Cangkir Bumi ialah kumpulan puisi beliau yang dihasilkan sejak tahun 1975 hingga kini. Hidup pada Siti penuh keajaiban. Bermula daripada melihat ke dalam diri, alam sekitarnya, dan masalah masyarakat, Siti menjadi lebih terbuka dan memandang lebih jauh. Sejak akhir-akhir ini puisi-puisinya yang tersiar di akhbar dan majalah tempatan memperlihatkan sikap Siti berhadapan dengan penderitaan di beberapa sudut dunia dan semangat juangnya yang tinggi untuk memperkembang bahasa dan budaya kita yang menjadi akar dalam hidup masyarakat yang bertamadun.
Menurut Kemala "Puisi dapat menyaksikan perasaan halus wanita Melayu yang kaya rasa, emosi di samping teguh dengan jati dirinya"
Siti juga menghasilkan cerpen, novel, syair untuk kanak-kanak, skrip drama radio dan tv serta rencana. Camar di Cangkir Bụmi bukan sahaja memperlihatkan kematangan Siti dalam dunia puisi malah turut merakamkan pengalaman serta rentetan peristiwa zamannya.